BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, September 19, 2008

Rasional diterima Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia

Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang stabil dari segi politik, dengan jaminan keselamatan dan kesejahteraan ekonomi yang adil bagi semua kaum dalam negara.

Kewujudan sesebuah kerajaan, bukan sekadar ianya mempunyai bilangan ahli-ahli parlimen mencukupi, tetapi ia haruslah mempunyai ketua yang dihormati, disegani serta diyakini rakyat berbilang kaum dalam negara.

Keyakinan rakyat kepada sesebuah kerajaan berasaskan kepada jaminan dari sebarang ancaman keselamatan, kestabilan politik, kemampuan menyempurnakan ekonomi dan kebajikan rakyat, serta memastikan tidak wujud sebarang ketegangan di kalangan rakyat dari pelbagai agama dan kaum.

Persoalan yang timbul sekarang ini ialah, rakyat Malaysia semakin tidak yakin, kerajaan Barisan Nasional yang terdiri dari 14 anggota komponen parti, mampu menjadi sebuah kerajaan yang stabil dan adil.

Rakyat Malaysia juga semakin tidak yakin dengan kemampuan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang jelas tidak mampu menjadi seorang pemimpin yang dihormati serta disegani oleh rakyat dari kalangan berbilang kaum.

Rakyat Malaysia turut gelisah apabila BN gagal mewujudkan kestabilan politik dalam negara, gagal mengurus tadbir ekonomi negara dengan baik, malah cukup lemah dalam menangani polemik kaum walaupun sudah memerintah lebih daripada 50 tahun.

Hakikat ini menuntut Pakatan Rakyat yang diterajui Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen.

Pakatan Rakyat yang mempunyai bilangan 82 Ahli Parlimen (MP) terdiri daripada KeADILan, PAS dan DAP, serta hampir 40 orang Ahli Parlimen BN yang sedia untuk berhijrah, sudah bersedia membentuk kerajaan baru di peringkat Persekutuan.

Penolakan terhadap Abdullah Badawi

Kegagalan Abdullah Badawi dalam menguruskan partinya (Umno), perbalahan terbuka anggota komponen BN yang tiada kesudahan sehingga kini sudah sampai ke klimaks.

Apabila sebilangan besar rakyat tidak yakin dengan BN, maka amatlah wajar bagi wakil-wakil rakyat untuk akur dengan kehendak rakyat dengan menyertai Pakatan Rakyat.

Ketidakyakinan rakyat terhadap PM dan BN tidak harus dipersoalkan. Bukan setakat rakyat awam, malah yang paling teruk sekali Abdullah tidak mendapat kepercayaan dari kalangan anggota Umno sendiri.

Sejak berakhirnya PRU 8 Mac lepas, Abdullah terus didesak meletakkan jawatan sebagai PM dan Presiden Umno, oleh orang-orang Umno sendiri.

Walaupun Abdullah cuba mempertahankan kedudukannya dengan mengumumkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2010, namun orang-orang Umno tidak mahu menerima cadangannya.
Malah cadangan Abdullah untuk kekal sepenggal lagi sebagai Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini turut ditolak ahli Umno.

Desakan supaya Abdullah berundur segera berlarutan sehingga mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam.

Walaupun secara 'politenya' dilaporkan MT meminta PM berundur lebih awal dari tarikh pelan peralihan kuasa, hakikatnya Umno sudah tidak boleh menerima lagi kepimpinan Abdullah Badawi.

Sebahagian besar orang-orang Umno mahu Abdullah berundur segera..sekarang, bukan pada suatu tarikh yang akan dibincangkan dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Masalah besar, tekanan hebat, ancaman politik terhadap Abdullah sebenarnya bukan datang daripada Pakatan Rakyat, ianya wujud dan bersarang daripada akar umbi Umno sendiri.

Tekanan terhadap Abdullah berterusan sehingga ke anggota komponen BN. Khususnya dari Sabah dan Sarawak yang tidak puashati. Malah anggota utama seperti MCA dan Gerakan secara terbuka mengkritik polisi-polisi politik, ekonomi dan sosial yang diamalkan oleh Abdullah.

Kata orang 'kut mana pun' Abdullah tetap akan jatuh juga, sama ada dia dijatuhkan secara 'polite' melalui peralihan kuasa yang disegerakan atau pun Kerajaan BN bertukar dengan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Nilai demokrasi sebenar

Perlembagaan negara membenarkan sesebuah kerajaan bertukar. Memang ada peruntukan dalam peraturan Parlimen bahawa seseorang PM tidak semestinya 'kebal', dia boleh diganti atau dijatuhkan jika mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Ini adalah langkah yang menepati proses demokrasi. Tidak timbul langsung ancaman keselamatan dalam hal ini.

Demokrasi bukan bermakna, sesebuah kerajaan hanya boleh ditukar sewaktu musim Pilihan Raya Umum sahaja. Pilihan raya hanya satu cabang dalam proses dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

Apapun di Malaysia, rakyat tetap menyedari bahawa proses demokrasi berpilihan rayanya masih wujud banyak persoalan yang meragukan.

Walaupun 'lompat parti' diistilahkan sebagai langkah tidak bermoral oleh sesetengah pihak, namun ia tetap dibenarkan dalam proses demokrasi dalam negara.

Cumanya yang menghairankan, orang-orang politik tertentu yang terbukti buruk nilai moralnya, hari ini bercakap berdegar-degar soal prinsip dan moral.

Masalah dalam MP BN adalah seperti ibarat 'menaiki kapal yang hampir karam'. Kapal BN yang diterajui nakhoda Abdullah Badawi tidak mampu bertahan lagi.

Oleh itu, jika MP BN tidak melompat sekarang, mereka akan turut membawa rakyat karam bersama kapal BN.

Masalah yang besar di sini ialah, sebilangan besar MP 'hilang kepercayaan' terhadap PM dan BN itu sendiri.

Manifestasi daripada kemelut Umno/BN yang sarat dengan pelbagai krisis kepimpinan, korupsi (politik wang), kegagalan mewujudkan ketenteraman kaum (masalah yang ditimbulkan oleh Umno, yang dibantah oleh Gerakan dan MCA) serta kegagalan menstabilkan ekonomi, menyebabkan ramai MP BN sudah 'lost hope dan lost confident'.

Hilang keyakinan atau lost confident terhadap kepimpinan sesebuah parti yang memerintah merupakan salah satu daripada proses demokrasi yang dibenarkan dalam negara.

Bukan sahaja di Malaysia. Ianya dibenar dan diamalkan oleh semua negara yang berdaulat yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen.

Justeru tidak timbul sama sekali Anwar Ibrahim atau Pakatan Rakyat tamak kuasa kerana mahu menjatuhkan Kerajaan BN yang cara tidak bermoral sekarang.

Jauh sekali hendak melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan negara. Tidak timbul sama sekali 'rampasan kuasa' seperti tindakan tentera di negara jiran Indonesia, Thailand atau Myanmar.

Anwar dan Pakatan Rakyat mengajak Abdullah dan BN supaya berhadapan dengan krisis ketidakpercayaan rakyat ini secara 'gentleman'.

Jaminan keselamatan negara, kestabilan politik, ekonomi dan sosial

Pakatan Rakyat tidak berhasrat untuk mengambil alih kuasa tanpa pelan perancangan yang teliti.

Fokus utama Pakatan ialah untuk meyatupadukan semua kaum dalam negara. Rakyat pada 8 Mac 2008 sudah memberikan signal jelas bahawa mereka mempercayai kemampuan Anwar dan menolak tohmahan yang bertujuan memecahbelah PAS dan DAP.

Politik berasaskan ras atau kaum sudah semakin tidak relevan di mata rakyat. Oleh sebab itu Umno gagal menjadi ketua kepada parti komponen BN yang boleh diterima.

Dalam pada rakyat sudah mula mengetepikan kepentingan bangsa dan puak, Umno sebaliknya dalam kempen Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 26 Ogos lepas, terus memainkan sentimen perkauman. Politik sempit ini sudah tidak diterima rakyat.

Apabila semua kaum bersatu padu, ianya akan mewujudkan kestabilan politik yang akan menyelamatkan negara daripada sebarang ketegangan akibat perbalahan kaum. Rakyat tidak mahu Peristiwa 13 Mei 1969 berulang.

Kunci kepada penyatuan rakyat dari pelbagai kaum dan agama, mencakupi Sabah dan Sarawak ada pada Pakatan Rakyat.

Kemampuan Anwar untuk 'mendamaikan' PAS dan DAP yang berlainan ideologi, kemampuan beliau mengajak kaum bumiputera dari kalangan pelbagai agama di Sabah dan Sarawak, sukar untuk dilakukan oleh lain-lain pemimpin dalam negara.

Soal sesiapa suka atau tidak kepada Anwar itu soal lain. Recognition seperti ini tidak mudah diterima lain-lain pemimpin politik, sama ada dari BN atau Pakatan Rakyat.

Dalam sidang akhbarnya semalam, Anwar turut mengumumkan bahawa lebih USD1 trillion pelaburan asing menanti untuk memasuki pasaran negara jika politik, kehakiman negara, media, polis, peraturan Bank Negara diperbaiki.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga komited untuk merombak pengurusan sumber ekonomi negara, menstruktur semula sistem cukai dan menurunkan harga minyak.

Jika Pakatan Rakyat memerintah, kemasukan USD1 trillion pelaburan asing akan menjana aktiviti ekonomi yang aktif dalam negara, sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi negara yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat. Ini yang sebenarnya rakyat kehendaki.

Oleh itu Abdullah dan BN tidak boleh menuduh Anwar mensabotaj ekonomi negara. Jika mereka gagal menguruskan ekonomi dan tidak mempunyai karisma untuk menarik pelabur asing, itu bukan salah Anwar.

Anwar sering dituduh proksi Amerika dan Barat. Kesempatan sebagai 'proksi' Barat ini boleh diambil Anwar untuk menarik pelabur dari blok Barat.

Tetapi jangan lupa, Anwar juga 'agen' negara-negara Arab! Sebahagian besar rakan-rakan beliau adalah PM dan Menteri yang menjaga ekonomi di Arab Saudi, Qatar, Kuwait, UAE, Bahrin dan sebagainya.

Sudah tentu hubungan persahabatan dan kepercayaan negara Arab yang sering menjemput Anwar sebagai penasihat ekonomi mereka, merupakan kesempatan terbaik Anwar untuk menarik pelabur-pelabur asing daripada negara Arab.

Manakala di blok Timur pula, Anwar sering diundang untuk berucap dalam forum-forum ekonomi anjuran negara China, sama ada di Shanghai atau Hong Kong, malah di Singapura juga.
Selain bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak ramai rakyat Malaysia, berketurunan Melayu yang mendapat kepercayaan kuasa besar ekonomi China. Setakat ini Abdullah dan Najib, belum termasuk dalam senarai pemidato ekonomi.

Justeru kesimpulan daripada dakwaan sebagai proksi Barat, hubungan erat dengan negara Arab, serta keyakinan kuasa ekonomi China terhadap Anwar, ianya akan dapat membantu memulihkan ekonomi negara, jika beliau diberi mandat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hakikatnya Pakatan Rakyat sudah bersedia memerintah negara dengan jaminan keselamatan negara, perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan keadilan sosial. Mari kita membantu menyegerakan!


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB