Sungai Bakap - Ismail bin Don, 60 menerima kunjungan Exco Kerajaan Negeri, YB Law Choo Kiang pagi tadi dan menerima bantuan kerusi roda.
Beliau yang mengidap penyakit strok turut menerima bantuan sarahidup dari Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah diusahakan oleh Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg. Bakap.
YB Law yang hadir bersama pembantu khasnya turut ditemani oleh Pegawai Perkhidmatan Masyarakat ADUN Sg. Bakap, Pn. Rajaletchimee dan pengerusi JKKK Sg. Bakap Selatan, Hj. Anuar Hassan.
Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya. Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.
Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang menghormati hak-hak minoriti.
'Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.
Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan‘kuku besi’, demokrasi menjadi igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama. Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.
Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’ menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat ‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini dalam sistemnya.
Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.
Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada suara ramai dihayati dalam negara mereka.
Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka hilang panduan.
Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.
Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.
Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat ‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan demokrasi perlu menghormatinya.
Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak bersetuju dengannya.
Firman Allah: (maksudnya) :
Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)
Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).
Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil. Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.
Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah. Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang, jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.
Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’ juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka. Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.
Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.
Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka rosaklah negara.
Permatang Pauh - Dr. Mansor Othman malam tadi diumum sebagai calon Pakatan Rakyat di DUN N12 Penanti, Pulau Pinang.
Pemilihannya diumumkan oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 1,000 penyokong yang memenuhi Yayasan Aman, di Penanti.
Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi KeADILan Negeri yang juga ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim; Pengerusi DAP Negeri dan Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin.
Sejak Fairus mengosongkan kerusi tersebut pada 16 April lalu, tercetus spekulasi menyatakan bahawa Anwar akan memilih Dr Mansor bertanding di kerusi tersebut.
Dr Mansor, bekas profesor di Universiti Sains Malaysia, merupakan setiausaha politik Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 31 Mei depan.
Hari mengundi bagi kerusi DUN Penanti ditetapkan pada 31 Mei dan hari penamaan calon pula 23 Mei, demikian pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kerusi itu dikosongkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.
Katanya, keputusan itu bagi membolehkan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.
Tambahnya, tempoh berkempen selama lapan hari sudah mencukupi kerana hanya sebilangan kecil pengundi atas pagar sahaja yang membuat keputusan di saat akhir.
Abdul Aziz berkata, pondok panas menjadi "pusat ketegangan" semasa hari pengundian.
"Saya tidak tahu hendak menjelaskan gelagatnya (di pondok panas). Kadang-kadang macam dirasuk hantu. Bila kita cakap (tegur), dia kata kita pula yang emosional.
'Merayu dalam kenderaan'
“Semangatnya (penyokong) tinggi dan bilangannya ramai," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.
Jelasnya lagi, SPR bagaimanapun masih membenarkan parti politik bertanding merayu di dalam kenderaan sewaktu menghantar pemilih ke tempat pembuangan undi.
"(Pengangkutan) itu perkhidmatan. Dalam kereta itu, bolehlah cakap (kempen)," katanya.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar arahan itu, Abdul Aziz berkata, mereka boleh didenda RM5,000 dan tidak dibenarkan mengundi bagi tempoh lima tahun seperti Seksyen 27(1) Akta Kesalahan Pilihanraya.
Ditanya sama ada suruhanjaya itu sengaja melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut untuk membolehkan Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat lepas, beliau berkata:
"Pertama, tidak ada penanguhan sama sekali. Kita tunda pengumuman itu bagi menyelaraskan pegawai-pegawai kita. Kita juga perlu menemui pihak parti politik pada hari Khamis.
'Umum ikut tempoh'
"Saya juga perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan, sekolah dan Insitut Kemahiran Belia Negara (untuk pusat pengundian).
"Dan (perkara ini) tiada kena-mengena dengan (MT) Umno. Kita pun tidak tahu mesyuarat itu, kecuali apabila ada orang bangkitkan perkara ini.
"Tidak sama sekali. Tidak relevan sama sekali mesyuarat MT Umno dengan keputusan SPR," kata Abdul Aziz.
"Kita umumkan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang. Kecuali saya mengumumkan pada hari kedua belas dan ketiga belas (selepas bermesyuarat)."
Selain itu, diminta menjelaskan tindakan SPR menetapkan hari pengundian DUN Penanti pada Ahad, berbeza dengan tiga pilihanraya kecil sebelum ini, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memudahkan orang ramai.
Pilihanraya kecil Penanti menggunakan daftar yang dikemaskini sehinggi 16 April dan mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, 72.68 % Melayu, 24.22 % Cina, 2.3 India dan 0.71 lain-lain kaum.
Pengundian di 32 saluran akan berjalan di sembilan pusat pengundian - lapan sekolah dan satu dewan insitut belia.
Abdul Aziz berkata, 242 petugas SPR akan terlibat mengendalikan pilihanraya kecil itu dengan perbelanjaan RM500,000.
Mafrel jadi pemantau
Beliau juga berkata, jika BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, ia merupakan kali pertama dalam sejarah.
Katanya, untuk pilihanraya ini, SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya (PP-KPR) yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan segala aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 23 Mei sehingga selesai hari mengundi jam 5 petang pada 31 Mei.
Abdul Aziz berkata, PP-KPR akan diketuai seorang pegawai penguatkuasa dan dianggotai seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
SPR juga, katanya, bersetuju membenarkan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya kecil tersebut, dan meminta mereka menghubungi urusetia SPR untuk urusan pelantikan dan syarat-syarat yang akan ditetapkan.
Abdul Aziz berkata daftar pemilih bagi bahagian pilihanrayaberkenaan akan mula dijual pada 8 Mei ini.
"Pengundi dalam bahagian pilihanraya berkenaan juga boleh membuat semakan melalui lamanweb SPR iaitu www.spr.gov.my dan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 8 Mei ini.
"Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang di talian 04-261 7692," katanya.
Georgetown - Hasil siasatan tiga buah kuari yang didakwa mengurangkan pengiraan pembayaran royalti bahan batuan kepada Kerajaan Negeri oleh Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tembatan Banjir Negeri, Law Choo Kiang mendapati dua daripadanya dikenakan pembayaran balik tunggakan berjumlah RM6,013,626.56 manakala satu lagi bebas daripada sebarang pembayaran.
Dua kuari yang bersalah itu ialah Kuat Sdn Bhd dikenakan RM3,607,958.46 dan Batu Tiga Quarry Sdn Bhd berjumlah RM2,405,668.10 keduanya beroperasi di Penanti, Bukit Mertajam.
Sebuah lagi kuari Saw Chong Teok Quarry Sdn Bhd yang terletak di Sungai Sembilang, Juru dibebaskan kerana mengikuti etika yang ditetapkan seperti penggunaan mesin dan kapisiti yang lebih tinggi berbanding pengeluaran dari jenis mesin yang sama oleh dua syarikat lain.
"Semuanya telah selesai setakat ini dan kami berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat terhadap tiga kuari berkenaan. Dua daripadanya dikenakan pembayaran balik tunggakan manakala satu lagi bebas kerana membuat pembayaran dengan baik," ujar Law Choo Kiang semasa kenyataan medianya di Dewan Nilam Tingkat 53 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) baru-baru ini.
Menurutnya Jawatankuasa Tanah yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah meneliti hasil siasatan pada 22 April kemudian dibincang dan diterima oleh mesyuarat Exco pada 23 April sehari selepas itu.
Memandangkan terdapatnya kekurangan pembayaran royalti oleh dua syariakt tersebut maka Ketua Menteri telah mengarahkan 12 lagi kuari disiasat semata-mata memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri mencapai matlamat Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).
"Untuk makluman semua ketiga-tiga kuari yang dihentikan sementara kini boleh beroperasi seperti biasa pada hari Isnin ini (27 April 2009), " tegasnya yang hadir bersama Timbalan Pengerusi Siasatan yang juga Ahli Dewan Unndangan Negeri (Adun) Bukit Tengah, Ong Chee Wen.
Mengikut formula pengiraan royalti setiap kuari kena beroperasi lapan jam sehari dan 26 hari sebulan. Setiap tahun kuari berkenaan dikehendaki deklarasi pengupayaan mesin melalui surat kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengira pembayaran royalti bahan batuan.
Bukan itu sahaja malahan siasatan juga merujuk kepada katalog mesin 'Primary Crusher' untuk mengenal pasti deklarasi tahunan yang dibuat. Satu akuan bersumpah juga perlu disediakan oleh setiap kuari untuk kapisiti mesin primary crusher bagi mengenal pasti kejujuran pengusaha terhadap mesin yang diguna sekarang atau lalu.
Jelas beliau kesalahan Syarikat Kuat Sdn Bhd ialah tidak memaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan mesin jenis Jaques ST47 dan memaklumkan pada pejabat yang sama terhadap mesin Svedala 1208HD.
Manakala Syarikat Batu Tiga Quarry Sdn Bhd pula ialah tidak melapurkan Pejabat Daerah yang sama apabila mesin primary crusher ditukar kepada Kobe 5442 dalam tempuh Disember 2004 - April 2005 serta kegagalan syarikat berkenaan melapur kepada Pejabat Daerah dan Tanah SPT tentang kenaikan kapisiti mesin daripada 149 sejam kepada 370 tan sejam apabila mesin Kobe mula digunakan.
"Semua dokuman yang disiasat bermula daripada bulan Januari 2004 sehingga Desember 2008 iaitu jangkamasa lima tahun. Kami berharap syarikat yang telah dikenakan tunggakan pembayaran tidak mengulangi kesalahan itu lagi sebaliknya mematuhi perundangan yang ditetapkan, " terangnya
Sungai Bakap - Kg. Gurun yang dihuni oleh 18 keluarga sejak lebih 45 tahun kini bakal luput dari peta Sungai Bakap. Kampung tersebut akan dijadikan kawasan perumahan oleh pihak pemaju.
Sebilangan besar penduduk terpaksa menyewa di kawasan sekitar disebabkan tidak memiliki rumah atau tanah sendiri.
Walaupun kesemua penduduk menerima bayaran pampasan daripada tuan tanah, tetapi ia tidak mencukupi untuk mereka membeli tanah dan rumah. Mereka diarah mengosongkan kediaman mereka sebelum Disember tahun lalu.
Masalah mereka mendapat perhatian YB Hj. Maktar yang berusaha mendapatkan tanah rizab milik kerajaan negeri sebagai penempatan semula untuk mereka. Tanah yang dikenalpasti itu terletak di Perkampungan Jawi.
Dalam pertemuan dengan penduduk pada 3.30 petang tadi, YB Hj. Maktar memberitahu bahawa tanah rizab kerajaan negeri bukan hanya akan diberikan kepada penduduk Kg. Gurun sahaja malah turut diberikan kepada individu yang kurang mampu seperti golongan miskin yang selama ini terpaksa menumpang dan menyewa di seluruh kawasan Nibong Tebal.
Wakil penduduk Kg. Gurun, Mohd Sabirin Din (gambar) mengulas mengenai keperihatinan ADUN Sg. Bakap itu, "Kami amatlah terharu dengan kesanggupan YB Ustaz membantu meringankan beban yang ditanggung selama ini, rata-rata penduduk yang hanya bekerja sendiri (kerja kampung) tidak mampu membeli rumah dan tanah terpaksa menyewa."
"Terima kasih banyak-banyak kepada YB Ustaz dan pihak Pusat Khidmat Rakyat ADUN Sg.Bakap kerana berusaha membantu kami tanpa mengira fahaman politik," tambahnya lagi.
Kuala Lumpur - Bekas Adun Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin mengulangi akan tetap meletak jawatan sebagai Adun kawasan itu, walaupun didapati tidak bersalah atas tuduhan rasuah.
Fairus yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang mengemukakan surat perletakan jawatan 16 April lepas selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai.
Semalam SPRM mengesahkan tidak ada bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan kepadanya dan ini mengundang spekulasi mengenai kemungkinan Fairuz akan menarik balik perletakan jawatan beliau.
Tetapi menurut Fairus, beliau tidak akan mengubah pendiriannya.
“Saya dengan ini mengulangi ketegasan saya untuk meletakkan jawatan selaku Adun N12 Penanti serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat di bawah teraju Ketua Umumnya; Anwar Ibrahim,” kata Fairus dalam sebuah kenyataan akhbar.
“Pengumuman SPRM yang telah membebaskan saya dari segala tuduhan adalah suatu manifestasi kebenaran saya yang telah selama ini saya pertahankan,” tambah beliau.
Berikutan pengumuman itu juga, Fairus berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menyaman individu dan pihak media tertentu yang sebelum ini memburukkan nama beliau.