BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label PRK Penanti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK Penanti. Papar semua catatan

Ahad, Mei 31, 2009

Dr. Mansor menang besar di Penanti

Penanti - Calon Pakatan Rakyat daripada KeADILan, Dr Mansor Othman menang besar dengan menewaskan tiga calon Bebas, Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris dalam pertandingan empat penjuru pilihan raya kecil yang berlangsung di Penanti hari ini.

Hasil pengiraan yang diadakan, Dr Mansor memperolehi 6,052 undi, manakala Aminah memproleh 392 undi, Nai Khan Ari (494) dan Kamarul Ramizu Idris (56). Dr Mansor menang dengan majoriti 5,558 undi.


Jumlah pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini, menurut laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak 46.15 peratus iaitu kira-kira 7,100 orang berbanding 82.13 peratus dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, dan ia disifatkan terendah dalam sejarah negara.


Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan perletakan jawatan sebagai ADUN Penanti oleh penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin daripada KeADILan awal bulan lepas.


Ahad, Mei 24, 2009

Penanti : Tidak bertanding, bukti BN makin parah

Penanti - "Terima kasih Barisan Nasional (BN) kerana tidak bertanding di Penanti kerana ia memberi laluan mudah untuk Parti keadilan Rakyat (KeADILan) mempertahankan kerusi di situ, " ujar Ketua Perhubungan KeADILan Pulau Pinang, Dato' Zahrin Hashim.

Beliau ketika ditemui di hari penamaan calon pekarangan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Penanti menambah, pengunduran diri Barisan Nasional (BN) bukan sahaja memudahkan kempen bahkan terbukti kegawatan BN makin parah.


Jelasnya lagi, namun walaupun laluan agak mudah tetapi penerangan kepada rakyat tetap di teruskan ke kampung-kampung atau taman bagi tujuan menyedarkan mereka tentang kepentingan pilihan raya yang diadakan.


Katanya,Pakatan Rakyat mahukan rakyat dilatih dengan sistem demokrasi yang sah maka kemasukan dalam pilihanraya boleh meningkatkan lagi pengaruh parti yang menyertainya.


"Insya-Allah bila menang nanti kita akan teruskan kerja kerajaan yang kian banyak maklumlah kita mempunyai kerajaan yang seimbang dan telus, " jelasnya.


Tambahnya, untuk mencapai hasrat itu bukan sahaja memerlukan gabungan tenaga bersama bahkan memerlukan kesatuan fikiran.

Sabtu, Mei 23, 2009

Penanti : Dr Mansor ditentang 3 calon bebas

Selepas tempoh bantahan tamat jam 11 pagi ini, empat orang termasuk calon PKR Mansor Othman kini layak bertanding, demikian diumumkan oleh pegawai pengurus pilihanraya Roslan Yahaya.

Mohd Saberi Othman, seorang bekas pembantu Tun Abdullah Ahmad Badawi di kawasan parlimennya di Kepala Batas, dibatalkan borang pencalonannya.

Sebab penolakan tersebut belum dapat dipastikan, setakat ini.

Keempat-empatnya akan bertarung menghadapi pilihanraya kecil DUN Penanti pada 31 Mei - kali ini tanpa persaingan sengit BN yang memutuskan untuk memulaukannya.

Proses penamaan calon sejak 9 pagi mencipta kejutan apabila Kamarul Ramizu Idris - calon bebas yang hilang pertaruhan di Bukit Gantang, Perak - turut mencuba nasib sekali lagi di kerusi DUN Pulau Pinang itu.

Dua lagi calon bebas, bekas pemimpin Wanita PKR negeri Aminah Abdullah dan bekas pemimpin Gerakan, Nai Khan Ari dijangka akan memberi saingan kepada Mansor.

Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang turut mengiringi calon PKR mendapat sambutan meriah dengan jeritan "bubar (DUN) Perak" para penyokong.

Tokoh-tokoh kanan PKR termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil memberikan sokongan kepada Mansor yang mempertahankan kerusi parti itu - satu daripada tiga DUN bawah parlimen Permatang Pauh.

Kerusi tersebut kosong selepas wakil rakyat PKR Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatan ADUN 16 April lalu di tengah-tengah kehangatan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Selasa, April 28, 2009

PRK N12 Penanti : Dr. Mansor Othman calon Pakatan Rakyat

Permatang Pauh - Dr. Mansor Othman malam tadi diumum sebagai calon Pakatan Rakyat di DUN N12 Penanti, Pulau Pinang.

Pemilihannya diumumkan oleh Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim di hadapan lebih 1,000 penyokong yang memenuhi Yayasan Aman, di Penanti.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden KeADILan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Pengerusi KeADILan Negeri yang juga ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim; Pengerusi DAP Negeri dan Exco kerajaan negeri, Chow Kon Yeow dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin.

Sejak Fairus mengosongkan kerusi tersebut pada 16 April lalu, tercetus spekulasi menyatakan bahawa Anwar akan memilih Dr Mansor bertanding di kerusi tersebut.

Dr Mansor, bekas profesor di Universiti Sains Malaysia, merupakan setiausaha politik Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 31 Mei depan.

Isnin, April 27, 2009

Pilihanraya Kecil DUN Penanti pada 31 Mei

Hari mengundi bagi kerusi DUN Penanti ditetapkan pada 31 Mei dan hari penamaan calon pula 23 Mei, demikian pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kerusi itu dikosongkan oleh bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM1) Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Katanya, keputusan itu bagi membolehkan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.

Tambahnya, tempoh berkempen selama lapan hari sudah mencukupi kerana hanya sebilangan kecil pengundi atas pagar sahaja yang membuat keputusan di saat akhir.

Abdul Aziz berkata, pondok panas menjadi "pusat ketegangan" semasa hari pengundian.

"Saya tidak tahu hendak menjelaskan gelagatnya (di pondok panas). Kadang-kadang macam dirasuk hantu. Bila kita cakap (tegur), dia kata kita pula yang emosional.


'Merayu dalam kenderaan'

“Semangatnya (penyokong) tinggi dan bilangannya ramai," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

Jelasnya lagi, SPR bagaimanapun masih membenarkan parti politik bertanding merayu di dalam kenderaan sewaktu menghantar pemilih ke tempat pembuangan undi.

"(Pengangkutan) itu perkhidmatan. Dalam kereta itu, bolehlah cakap (kempen)," katanya.

Ditanya bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melanggar arahan itu, Abdul Aziz berkata, mereka boleh didenda RM5,000 dan tidak dibenarkan mengundi bagi tempoh lima tahun seperti Seksyen 27(1) Akta Kesalahan Pilihanraya.

Ditanya sama ada suruhanjaya itu sengaja melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut untuk membolehkan Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi, Jumaat lepas, beliau berkata:

"Pertama, tidak ada penanguhan sama sekali. Kita tunda pengumuman itu bagi menyelaraskan pegawai-pegawai kita. Kita juga perlu menemui pihak parti politik pada hari Khamis.


'Umum ikut tempoh'

"Saya juga perlu dapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik bangunan, sekolah dan Insitut Kemahiran Belia Negara (untuk pusat pengundian).

"Dan (perkara ini) tiada kena-mengena dengan (MT) Umno. Kita pun tidak tahu mesyuarat itu, kecuali apabila ada orang bangkitkan perkara ini.

"Tidak sama sekali. Tidak relevan sama sekali mesyuarat MT Umno dengan keputusan SPR," kata Abdul Aziz.

"Kita umumkan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang. Kecuali saya mengumumkan pada hari kedua belas dan ketiga belas (selepas bermesyuarat)."

Selain itu, diminta menjelaskan tindakan SPR menetapkan hari pengundian DUN Penanti pada Ahad, berbeza dengan tiga pilihanraya kecil sebelum ini, Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memudahkan orang ramai.

Pilihanraya kecil Penanti menggunakan daftar yang dikemaskini sehinggi 16 April dan mengandungi 15,384 pemilih, termasuk 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 % Melayu, 24.22 % Cina, 2.3 India dan 0.71 lain-lain kaum.

Pengundian di 32 saluran akan berjalan di sembilan pusat pengundian - lapan sekolah dan satu dewan insitut belia.

Abdul Aziz berkata, 242 petugas SPR akan terlibat mengendalikan pilihanraya kecil itu dengan perbelanjaan RM500,000.


Mafrel jadi pemantau

Beliau juga berkata, jika BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, ia merupakan kali pertama dalam sejarah.

Katanya, untuk pilihanraya ini, SPR bersetuju menubuhkan dua pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya (PP-KPR) yang bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dan segala aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen dari 23 Mei sehingga selesai hari mengundi jam 5 petang pada 31 Mei.

Abdul Aziz berkata, PP-KPR akan diketuai seorang pegawai penguatkuasa dan dianggotai seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

SPR juga, katanya, bersetuju membenarkan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihanraya kecil tersebut, dan meminta mereka menghubungi urusetia SPR untuk urusan pelantikan dan syarat-syarat yang akan ditetapkan.

Abdul Aziz berkata daftar pemilih bagi bahagian pilihanraya berkenaan akan mula dijual pada 8 Mei ini.

"Pengundi dalam bahagian pilihanraya berkenaan juga boleh membuat semakan melalui lamanweb SPR iaitu www.spr.gov.my dan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 8 Mei ini.

"Selain itu, para pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan Pejabat Pilihanraya Negeri Pulau Pinang di talian 04-261 7692," katanya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...