BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Disember 19, 2009

Satu lambang, PR jangan tiru BN


Konvensyen PR menjadi salah satu batu tanda penting hubungan parti-parti dalam PR. Dalam suasana Umno / BN amat berharap parti-parti dalam PR bercakaran sesama sendiri, tiba-tiba konvensyen ini berlangsung.

Sehingga kini belum ada komen pemimpin Umno / BN mengenai konvensyen ini. Mungkin mereka masih terkejut dengan kejadian di parlimen 14 Dis yang lalu.

PR guna satu lambang seperti BN? Saya harap konvensyen ini tidak mengeluarkan resolusi begitu. Kenapa?

Penting sangatkah lambang? Kecuali sistem pilihanraya kita berubah, ada cara lain selain lambang untuk membolehkan pengundi memilih parti yang mereka mahu, lambang masih sangat penting.

PAS berbeza dengan PKR dan DAP sama seperti Umno berbeza dengan MCA dan MIC. Perbezaan ini harus diiktiraf sama seperti pengiktirafan terhadap wujudnya persamaan. Apa yang mustahak, perkukuhkan keserasian dengan perbezaan yang wujud itu.

Lelaki dan perempuan berbeza tetapi mereka tidak perlu memakai baju yang sama untuk memaklumkan kepada umum bahawa mereka adalah pasangan suami isteri. Cukuplah dengan mereka menaiki kereta bersama, membeli-belah bersama, makan angin bersama, ketawa dan menangis bersama, memegang tangan anak-anak ketika berjalan bersama, itu sudah memadai.

Jiran-jiran tahu, kawan-kawan tahu, bahkan orang yang tidak mengenali mereka pun tahu bahawa mereka pasangan suami isteri bila melihat mereka begitu.

Apa yang mengikat mereka? Ya, selain dokumen perkahwinan, mereka diikat oleh kebersamaan mereka menghadapi situasi. Ada ketika mereka berkelahi, berbalah, bergaduh, tetapi kemudiannya mereka kembali bersama malah lebih intim lagi. Demi siapa? Ya, demi anak-anak, masa depan mereka.

PAS, PKR dan DAP tidak perlu menggunakan lambang yang sama. Lebih selesa, tenang kita memakai lambang sendiri seperti sekarang. Cukuplah, kita berarak bersama, kita berkempen bersama, kita bermarkas bersama, orang sudah tahu bahawa kita berkawan. Dunia sudah tahu itu semua.

Kita tidak perlu menipu rakyat seperti BN. Ke sana sini memikul dacing, tapi Umno menikam Melayu, MCA dan MIC pun tidak setara mana membela kaum mereka. Orang yang terbela ialah orang yang berkuasa, pemimpin mereka.

Dengan satu lambang itu, pada hari ini rakyat tidak kemana. Kekayaan negara mereka punggah dan difaraidkan sesama mereka. Rakyat ditipu dengan satu lambang. Satu lambang, kononnya simbol perpaduan. Akhirnya, mereka memang berpadu tetapi untuk tipu kita.

Kita tampil di hadapan rakyat dengan wajah kita. PAS, PKR dan DAP dengan wajah masing-masing. Kita suarakan idealisme kita. Fokus kita ialah rakyat, masa depan mereka.

Politik tipu rakyat dengan satu lambang tidak harus kita warisi. Kita mesti berbeza daripada BN. Kita perlu melakar wajah politik baru untuk Malaysia.

Berikan rakyat Malaysia peluang yang luas untuk menentukan masa depan mereka. Jangan ikat dan berkas mereka dengan lambang seperti BN. Andai PR berkuasa, lebih baik kita berikan rakyat Malaysia banyak pilihan, PAS, PKR dan DAP daripada kita mengikat mereka dengan dua pilihan sahaja, PR dan BN.

Rakyat akan lebih memberontak jika mereka diikat berbanding mereka diberikan banyak peluang dan pilihan.

BN telah memenjara rakyat dengan ‘dacing’. Hari ini rakyat memberontak. Ahli atau penyokong Umno tidak mampu beralih kepada parti lain dalam komponen BN, ahli atau penyokong MCA tidak beralih kepada Gerakan misalnya, kenapa? Kerana mereka jemu dengan ‘idealisme’ dacing itu. Kesudahannya mereka meninggalkan terus ‘dacing’.

PR mesti memberi peluang kepada ahli atau penyokongnya terus bersama PR sekali pun dia mungkin tidak mahu bersama dengan salah satu parti dalam PR. Bukankah itu lebih menguntungkan politik kita? Dia tidak selesa dengan A, boleh pilih B, namun masih bersama PR.

Justeru, saya tidak bersetuju PR menggunakan satu lambang sahaja. Lebih baik terbuka, lebih selesa bebas, lebih mesra beridentiti. Dada tidak sempit, fikiran tidak kusut.

Bukan saya seorang tetapi saya yakin rakyat Malaysia juga begitu. Rakyat Malaysia sudah fobia dengan satu lambang, ‘dacing’.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB