BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Sabtu, Disember 19, 2009

Anwar: ‘Jangan ganti rasisme dengan rasisme baru’


Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa setiap kaum di Negara ini mengikis semangat perkauman masing-masing jika benar-benar mahu membentuk sebuah negara yang adil bagi semua kaum.

“Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru, dengan membidas perkauman Umno semata-mata dari perspektif kepentingan kaum tertentu,” kata beliau.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menyatakan demikian dalam ucapan perdananya pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini hari ini.

Anwar menjelaskan jika ia berlaku maka tidak akan ada kemajuan dalam perjuangan melawan perkauman.

“Perjuangan melawan perkauman hanya akan berjaya jika didorong oleh keadilan sejagat dan kesederhanaan sikap.

“Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai ‘moral resources’, khazanah akhlak, yang kaya untuk memerangi fikiran sempit dan perkauman, dan menggantikannya dengan keadilan sejagat untuk semua, menghapuskan prasangka dan menyemai benih persaudaraan insaniah,” katanya.

Penasihat PKR itu memberitahu, maka yang mendasari segala dasar dan kebijakan yang pihaknya membentangkan hari ini adalah prinsip moral sejagat. Ini bukan gimik politik.

“Kita yakin perjuangan yang tidak dipandu oleh prinsip moral sejagat akan menemui jalan buntu, tidak akan membawa keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

“Kita berpegang kepada prinsip moral kerana rakyat mahu ahli-ahli politik meleburkan kerangka pemikiran usang dan jumud.

“Inilah falsafah kebangsaan yang kita maksudkan, satu kebangsaan yang inklusif, adil, tanpa diskriminasi,” katanya lagi.

Kata beliau surah al Hujurat ayat 13 jelas menganjurkan agar “kita meninggalkan perkauman sempit ini.”

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

“Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu),” kata beliau.

Jelas beliau, prinsip karamah insaniah dan lita'arafu ini yang menggembleng keyakinan baru di kalangan umat Melayu dan bumiputera untuk membanteras sikap perkauman dan membantah sebarang dasar yang meminggirkan golongan lain atas pertimbangan ras.

“Justeru itu jangan ada yang mahu menggantikan satu bentuk rasisme dengan rasisme yang baru,” katanya lagi.

Anwar juga mengakui bahawa Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan tersebut bukan kerana kekuatan mereka atau jentera parti.

“Kita di Dewan Rakyat, di tampuk pemerintahan negeri kerana rakyat memberikan kita sedikit keyakinan. Kita jangan sekali jadi seperti kaduk naik junjung,” katanya.

Anwar menambah rakyat mahu mencuba Pakatan Rakyat kerana mahu menguji ikatan pembangkang itu.

“Maka kita jangan mengkhianati kepercayaan tersebut.

“Selama setengah abad parti-parti pembangkang berjuang, ramai yang menjadi korban kezaliman, dipenjara, merengkok dalam kamar sepi dan dikelilingi oleh kawat berduri, keluarga mereka menderita.

“Apabila kita diberikan sedikit kuasa kita jangan lupa ini semua,” katanya.



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB