BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Selasa, Mei 12, 2009

Nizar menuju Istana Iskandariah mohon bubar DUN

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendapat semula jawatan menteri besar Perak kembali bertugas hari ini di bangunan sekretariat dengan kawalan ketat polis.

Beliau hadir bersama barisan exconya dan juga Speaker DUN, V Sivakumar, yang digugurkan dalam persidangan paling kecoh, Khamis lalu.

Kawalan ketat itu dilaporkan atas arahan Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim - yang diumumkan malam tadi telah digantung tugasnya oleh menteri besar tersebut.

Turut mengalami tindakan yang sama, penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Shahid.

Surat penggantungan tugas kepada dua pegawai kanan itu diserahkan selepas jam 8 pagi tadi.

Sejurus kemudian Mohammad Nizar meninggalkan pejabat, menuju ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk satu majlis diraja.

Beliau juga berharap dapat menghadap Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah untuk membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya negeri diadakan.

Seorang pembantu menteri besar itu Amran Harun dilaporkan mengirim kepada istana jam 8.20 pagi ini, memaklumkan hasrat Mohammad Nizar menghadap Raja Nazrin.

Sementara itu, Tengku Razaliegh Hamzah turut menyokong tindakan Pakatan Rakyat untuk mengusulkan kepada Istana agar membubarkan DUN bagi mengatasi kemelut politik sejak Februari.

Mengulas keputusan mahkamah memberi semula jawatan menteri besar kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pembubaran "satu-satunya cara" keluar daripada krisis tersebut.

"Kita berharap Sultan memperkenan untuk membubarkan DUN. Ia bukan sahaja tindakan sewajarnya, tetapi satu-satunya cara keluar daripada krisis yang membelit Perak, merosakkan keluhuran undang-undang, mencalarkan badan kehakiman, polis dan perkhidmatan awam negeri, dan mencemarkan sistem beraja di mata umum," kata bekas naib presiden Umno itu di blognya.

Di awal krisis ini, Tengku Razaleigh telah mempertikaikan tindakan rampasan kuasa BN, termasuk menggugurkan jawatan Mohammad Nizar, dengan menyifatkannya di luar proses perlembagaan.

Beliau juga telah mencadangkan pilihanraya negeri diadakan atau rakyat akan semakin meluat pada Umno.

Dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Tambahnya, persidangan DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," katanya.

"Isu sebenarnya adalah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan sistem beraja dilindungi selagi mendukung keunggulan perlembagaan dan hasrat rakyat."



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB