(A People’s Government For The Real Malaysians)
Tepat setahun dulu dalam Konvensyen Kebangsaan Pakatan Rakyat pertama
yang penuh bersejarah pada 19 Disember 2009 di Shah Alam, suatu
muafakat baru muncul di Malaysia dengan pelancaran Dasar Bersama Pakatan
Rakyat.
Hari ini dalam Konvensyen Kebangsaan Pakatan Rakyat kedua di Pulau
Pinang, suatu harapan baru telah lahir di kalangan rakyat Malaysia
dengan pelancaran Program 100 hari PR.
Saya pasti dalam Konvensyen Kebangsaan Pakatan Rakyat ketiga tahun
depan, suatu kerajaan baru berjiwa rakyat akan terbit di Malaysia yang
martabatkan rakyat dan mendokong ketuanan rakyat.
Mengimbas kembali kepada dokumen Dasar Bersama PR yang merangkumi
prinsip-prinsip asas perjuangan gabungan PKR, PAS dan DAP, ia
mengandungi empat tajuk utama iaitu:
1. Demokrasi Telus dan Tulen
2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil
3. Keadilan sosial dan pembangunan insan
4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar Negara.
Sekiranya Dasar Bersama PR boleh membawa perubahan kepada rakyat
Malaysia, maka Program 100 hari menggariskan secara terperinci dan
menyeluruh langkah-langkah spesifik secara permulaan untuk menjalankan
urustadbir baik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Program 100 hari ini benar-benar adalah harapan rakyat Malaysia yang
dapat melihatkan reformasi kompreshensif yang kian mantap dan mendalam
diusahakan oleh kerajaan-kerajaan negeri PR di Pulau Pinang, Kedah,
Selangor dan Kelantan. Bagi pihak PR Pulau Pinang, kesediaan Program 100
Hari ini menerima pakai dua inisiatif kami amatlah dihargai, iaitu
program liputan wifi percuma yang akan siap akhir tahun depan dan RM100
setahun kepada warga emas melebihi 60 tahun akan diberikan pula RM1,000
setahun kepada semua warga emas di Malaysia oleh PR di peringkat pusat.
Akan tetapi Program 100 Hari bukanlah untuk semua orang. Bukan untuk
orang yang menentang konsep kerajaan berjiwa rakyat, melawan martabatkan
rakyat dan memusuhi ketuanan rakyat. Program 100 Hari ini adalah untuk
rakyat Malaysia sebenar, tulin dan watan – the real Malaysians.
Siapa rakyat Malaysia sebenar ini yang sering dilupakan oleh media
massa dan kerajaan BN? Sebelum mengenalpasti mereka, kita harus dulu
menyatakan siapa yang bukan Malaysia sebenarnya. Who are not the real
Malaysians?
Saya ingin mula dengan mereka yang hanya tahu benci-membenci dengan
menggunakan fahaman eskstrimis baik aspek kaum, jantina mahupun agama.
Golongan yang hanya tahu mendisrkiminasi, menganiayai dan merendahkan
orang lain malah meraikan peristiwa berdarah 13 Mei bukanlah rakyat
Malaysia sebenar.
Kebanyakan mereka pendokong dan peminat Utusan
Malaysia dan BN yang hanya peralatkan isu 3R (race religion rajah).
Satu lagi gologan ialah yang bukan “real Malaysians” adalah yang
tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela
menjualkan segala-galanya. Tambah pula kaki fitnah dan tohmah, golongan
mata duitan, materialism dan penipu ini bukan juga rakyat Malaysia
sebenar. Kita tidak boleh pertimbangkan suatu lagi golongan yang hanya
mahu syiok sendiri atau suka tunjuk pandai. Kalau tak diberikan tempat
atau ikut nafsu jahat mereka, maka mereka akan lompat atau belah sahaja.
Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia Celup or pseudo-Malaysians.
Rakyat Malaysia yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan
hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih
senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik.
Inilah rakyat Malaysia sebenar yang kita di PR harus tumpukan.
Saya percaya rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman,
tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran,
kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan. PR harus fokuskan
perhatian dan usaha gigih kita ke atas golongan pertengahan ini yang
merupakan majoriti terbesar dan sering dilupai oleh media massa dan BN.
Rakyat Malaysia sebenar mahukan keadilan dan kedaulatan undang-undang
agar kita dilayani secara samarata. Yang mereka akan lebih sanjung
bukanlah pemimpin individu yang berwibawa tetapi sistem yang berkesan.
Sistem yang membolehkan sesiapa yang ingin jalankan urusan kerajaan
boleh lakukannya tanpa menerusi pihak ketiga atau kenal orang tengah,
hanya kenal undang-undang dah cukup – itulah system kedaulatan
undang-undang yang rakyat Malaysia sebenar mahukan.
Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebenaran supaya masyarakat dan
anak-anak kita tidak akan hancur. Dalam ugama Islam pun dinyatakan
fitnah adalah lebih dasyat daripada bunuh, takkan lagi nak percaya Satu
Malaysia yang bertopengkan One Israel dan Tipu Malaysia.
Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebebasan, kebebasan daripada
penyalahgunaan kuasa yang rakus, amalan rasuah dan ancaman atau
kebebasan daripada ketakutan(freedom from fear). Hanya dengan kebebasan
hak asasi manusia baru kita boleh mendapat peluang samarata untuk
merealisasikan potensi modal insan.
Rakyat Malaysia sebenar mahukan kebajikan sebenar agar golongan daif,
asnaf, miskin, kurang upaya dan lemah dapat terus dibela. Kemiskinan
akan dilawan berhabis-habisan supaya semua dapat kecapi hasil kejayaan
ekonomi.
Rakyat Malaysia juga hendak bertakwa kepada Tuhan agar kita menjadi
insan baik yang takut kepada Tuhan dan bukan taksub kepada pemimpin dan
isteri mereka. Masyarakat yang berpegang teguh kepada “amar maaruf nahi
mungkar” akan pastikan pemimpin Firaun tidak akan timbul semula. Jangan
mereka yang mahukan Menara Warisan Merdeka 100 tingkat lupa, Firaun
boleh bina Piramid yang masih wujud sekarang tetapi Firaun sudah lama
tak ada lagi.
Inilah rakyat sebenar dalam golongan pertengahan yang PR mesti
tumpukan bukanlah mereka yang rasis, benci-membenci, fitnah dan
tamak-haloba. Kita mesti was-was tentang kempen kotor yang akan
dimainkan dalam PRU13 yang diramalkan datang tak lama lagi. BN akan
gunakan senjata 3R khususnya UMNO akan cakap PAS diperkudakan DAP dan
MCA pula cakan DAP diperkudakan PAS. Saya nak tegaskan PAS dan DAP tidak
memperalatkan satu sama lain, kami masing-masing hanya rela
diperalatkan oleh rakyat sahaja.
Selama ini di Pulau Pinang UMNO serang DAP anti-Melayu dan MCA pula
serang DAP anti-Cina. MCA serang DAP anti-bukan Melayu bila DAP
tunjukkan bahawa dalam sistem tender terbuka, kontraktor Melayu memang
mampu berdaya saing dengan memenagi sebilangan besar kontrak kerajaan.
Kontraktor Melayu menangi 100% kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran
serta 98% kontrak JKR. Bila kita martabatkan rakyat Pulau Pinang tanpa
kira kaum, jelas yang tak dapat berdaya saing ialah kontraktor UMNO
sendiri bukanlah kontraktor Melayu.
Kita tidak harus benarkan BN pecah-belahkan keutuhan PR. Perjuangan
DAP adalah berteraskan Perlembagaan Persekutuan di mana DAP telah pinda
Perlembagaan parti dalam 2006 untuk menerimanya.
Kita tak harus benarkan
UMNO cuba “hijack” Perlembagaan Persekutuan memecah-belahkan rakyat
Malaysia bahawa adalah salah untuk memperjuangkan ketuanan rakyat. UMNO
sering sebut Perkara 153 sebagai justifikasi untuk hanya perjuangkan
ketuanan Melayu. Malangnya UMNO langsung tidak sebutkan bahawa Perkara
153 juga menyatakan kepentingan sah kaum-kaum lain mestilah dipelihara.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan
Adalah menjadi tanggungjawab Yang di Pertuan Agung memelihara kedudukan
istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan
kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara
ini.
Article 153 of the Federal Constitution
It shall be the responsibility of the Yang di Pertuan Agong to safeguard
the special position of the Malays and natives of any of the States of
Sabah and Sarawak and the legitimate interests of other communities in
accordance with the provisions of this article.
PR mesti tumpukan usaha menjayakan transformasi Malaysia kepada
sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan Gross National Income(GNI)
per capita USD15,000 menjelang 2020. Di bawah BN, ini tidak mungkin
berlaku. Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meragui
keupayaan mencapai GNI USD15,000 ini. Malah Menteri di Jabatan Perdana
Menteri secara terbuka menyatakan kemungkinan Malaysia akan jadi bankrap
pada 2019. Demi selamatkan Malaysia dari jadi bankrap, PR perlu
memerintah di Putra Jaya.
Hentilah cakap-cakap kosong. Marilah kita berusaha dan bekerja gigih.
Kita mahukan Konvensyen Kebangsaan PR ke-3 tahun depan diadakan di
Putra Jaya. Kita mahukan Kerajaan berjiwa rakyat untuk rakyat Malaysia
sebenarnya.
Hidup PR, Hidup Kerajaan Berjiwa Rakyat, Hidup Martabat Rakyat!
Ucapan Setiausaha-Agung DAP Lim Guan Eng Dalam Konvensyen Pakatan Rakyat
Kebangsaan Kedua Di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang Pada
19.12.2010.