BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya
Memaparkan catatan dengan label PPSMI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PPSMI. Papar semua catatan

Jumaat, Oktober 02, 2009

Mansuhkan dulu PPSMI untuk martabatkan BM - Pak Samad

Usaha untuk "memartabatkan" lagi bahasa Melayu melalui penguatkuasaan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak akan berkesan selagi kerajaan tidak memansuhkan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kata seorang sasterawan negara.

Datuk A Samad Said juga berkata beliau tidak nampak keberkesanan penguatkuasaan bahasa kebangsaan itu, yang diumumkan sejak 2005.

"Saya rasa laporan berita itu tidak lengkap kerana sebelum ini pun DBP sudah ada unit khas untuk ambil tindakan terhadap mereka yang guna bahasa salah dalam iklan," katanya ketika diminta mengulas perkara itu, yang merupakan salah satu resolusi satu persidangan bahasa Melayu semalam.

Media melaporkan, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, telah meluluskan resolusi untuk "mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada DBP bagi memartabatkan bahasa Melayu."

"Apa yang saya nampak, setakat inipun usaha ini masih tidak berjalan. Tapi itu bukan masalah pokok, masalah pokok adalah penggunaan bahasa Melayu," kata aktivis sastera itu ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya mengambil langkah memansuhkan PPSMI supaya dasar pengajaran selari dengan undang-undang.

"Apa yang saya nampak, kerajaan setakat ini terus menghina bahasa Melayu manakala bahasa Inggeris pula didewa-dewakan," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

"Bahasa Inggeris sudah ada diberikan dana sebanyak RM5 billion untuk mantapkan bahasa itu, tapi untuk memartabatkan bahasa Melayu, tidak ada," kata Pak Samad yang turut mengetuai beberapa siri demonstrasi membantah dasar PPSMI Mac lalu.

"Kerajaan mestilah mengikut dan meluhuri Akta Bahasa Kebangsaan tersebut dan bukannya melanggar undang-undang, itu setakat yang saya nampaklah," katanya yang

Beliau berkata, DBP sememangnya tidak berkuasa untuk menguatkuasa bahasa Melayu, malah beliau mengetahui ramai di kalangan kakitangan DBP sendiri yang tidak bersetuju dengan PPSMI.

"DBP tidak boleh buat apa-apa, tapi kerana ia berada bawah kuasa kementerian pelajaran, jadi dia kena ikutlah. Kalau ditanya secara rahsia, ramai yang tidak setuju. Tapi apa yang mereka boleh buat kerana mereka orang makan gaji," jelasnya lagi.

Tambahnya, resolusi berkenaan yang diputuskan persidangan anjuran bersama DBP itu masih di peringkat cadangan.

"Itu permintaan, apakah kementerian akan terima atau tidak permintaan ini? Dalam usaha baru ini saya tidak tahu DBP akan buat macam mana," kata Pak Samad lagi.

Mengulas mengenai satu lagi resolusi persidangan yang meminta kerajaan mewujudkan jawatan atase bahasa dan kebudayaan di setiap pejabat misi Malaysia di luar negara, beliau berkata ia adalah usaha yang baik.

"Itu tak apalah kalau kerajaan rasa ia boleh mengembang dan membantu masyarakat mengguna bahasa. Tapi saya rasa yang penting adalah usaha di tanah air sendiri, masih samar-samar pelaksanaannya.

"Yang penting adalah supaya kerajaan tidak terus melanggar Akta Bahasa. Bermakna kerajaan mesti memansuhkan PPSMI," tegasnya.

Sabtu, Januari 31, 2009

Samad Said: Jika demo gagal, undi protes PPSMI

Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, kata seorang tokoh sasterawan.

"Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir.

"Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said kepada Malaysiakini semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu.

Sebuah lagi perkumpulan aktivis bahasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang dianggotai 24 persatuan penulis di seluruh negara turut mengancam mengadakan "Perarakan Keranda" – dinamakan Keranda 152 – bagi tujuan yang sama, dijadual pertengahan bulan depan.

Gapena juga tetap dengan pendiriannya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu sejak tujuh tahun lalu yang didakwanya melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan – yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar.

"Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan," katanya, yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".

Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, A Samad berkata:

"Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda."

Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

Selasa lalu, A Samad hadir dalam mesyuarat GMP bagi membincangkan siri bantahan terhadap PPSMI di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Turut terlibat dalam perbincangan itu beberapa tokoh sastera dan politik, termasuklah Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang menganggotai jawatankuasa induk GMP.

Ditanya sama ada kemunculannya itu boleh menjejaskan imejnya sebagai tokoh sasterawan yang tidak partisan selama ini, A Samad menjelaskan, kehadiran beliau berdasarkan isu, bukan pihak yang mendukung gerakan tersebut.

"Saya tidak boleh terlepas daripada apa yang bergelora (dasar PPSMI)," jelasnya.

"Orang kiri jemput saya pergi (hadir), orang kanan jemput saya pergi."

Hari ini, kira-kira 500 pencinta bahasa dijangka akan memenuhi ruang depan kompleks membeli-belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman membantah pelaksanaan PPSMI.

Beberapa tokoh utama bahasa seperti penyair Dinsman, bekas profesor bahasa Dr Abdullah Hassan dan penulis Ainon Mohd akan turut serta.

Pak Samad diura-urakan akan turut serta buat pertama kali dalam program sebegitu.

Sewaktu ditanya penyertaannya hari ini, sasterawan kelahiran Singapura itu bagaimanapun masih mahu berteka-teki.

"Awak tengoklah esok," katanya, sambil ketawa kecil.

A Samad menerima gelaran tertinggi dalam dunia kesusasteraan tanah air pada 1986.

Selain itu, beliau yang terkenal dengan novel Salina – mengisahkah keperitan hidup seorang pelacur di Singapura akibat perang – turut dianugerahkan SEA Write Award daripada kerajaan Thailand.


Khamis, Januari 15, 2009

Pakatan Rakyat akan pertahankan Bahasa Melayu


Gong Kapas, Kuala Terengganu - Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pakatan Rakyat menyokong penuh Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran/Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) dan akan mempertahankan Bahasa Melayu untuk digunapakai di dalam pembelajaran subjek tersebut.

Berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Mansuhkan Pengajaran/Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pagi tadi di perkarangan Pejabat Parti KeADILan Rakyat Negeri Terengganu. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden PAS; Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu; Datuk Mustafa Ali, calon PAS; Hj. Mohd Abd. Wahid Endut dan pejuang-pejuang Bahasa Melayu.

Memorandum itu diserah Timbalan Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, Prof. Dr Shahrin Mohd Zin kepada calon PAS Parlimen Kuala Terengganu, Hj. Mohd Abd. Wahid Endut.

"InsyaAllah apabila Hj. Mohd Abd. Wahid menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu nanti, maka semakin hampir untuk Pakatan Rakyat mengambil-alih kerajaan dan perkara utama yang kita akan lakukan ialah memansuhkan PPSMI," tambah Anwar.

Semasa majlis sedang berlangsung orang ramai melaungkan takbir dan kelihatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Dato' Zahid Ibrahim hadir memberi sokongan.




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...