Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhd Nur Manuty berkata, umat Islam 
wajar memperbanyakkan amalan dan bermuhasabah bagi mendapatkan keampunan
 dan keredhaan Ilahi pada bulan Ramadhan yang mulia.
“Dengan tertutupnya segala pintu kejahatan, maka wajarlah masyarakat 
Islam di negara ini menjadikan Ramadan kali ini mencari iktibar betapa 
dahsyatnya segala kemungkaran yang sedang berlaku sejak mutakhir ini – 
penyebaran fitnah, pembohongan, pengaiban individu, pengugutan, 
pengancaman keselamatan diri, amalan rasuah dan penafian prinsip 
keadilan dalam menegakkan keadilan di negara kita ini.
“Fenomena jijik (fahsya’) ini tidak pernah terjadi sebelum ini.  Atas
 nama kekudusan Ramadhan, hentikanlah. Pemimpin dan masyarakat Islam 
perlu bersama  bermuhasabah diri dengan penuh keikhlasan dan ketakutan 
kepada Allah SWT.  Andai tidak, segala amalan kita menjadi sia-sia 
kecuali “lapar dan dahaga”.
Justeru itu,  beliau menasihatkan masyarakat Islam supaya 
mempersiapkan diri sebaik-baiknya bagi menyambut Ramadhan di samping 
mendapat keampunan dan keredhaan Ilahi.
“Di bulan yang sarat dengan keberkatan ini, kewajipan utama kita adalah untuk mendapatkan darjat taqwa.
“Inilah yang ditegaskan oleh al-Qur’an al-karim (di dalam  Surah 
al-Baqarah: 173):  “la’allakum tattaqun”  (mudah-mudahan kamu mencapai 
ketaqwaan).  Untuk mencapai darjat ini, hakikatnya  bukanlah mudah.  Ia 
memerlukan keikhlasan, kesungguhan dan pengorbanan,” kata Muhd Nur 
disamping menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan amalan seperti 
bertadarus Al Quran.
Muhd Nur berkata, Presiden Pertubuhan Ulama Islam Sedunia, Syaikh 
Yusuf Al Qaradawi dalam ruangan popularnya di stesen TV Al Jazeera, 
turut mengingatkan umat Islam supaya mengambil peluang melakukan taubat 
nasuha sempena Ramadhan.
“Beliau menyarankan kita segera mengambil peluang melakukan “tawbat nasuha” dan mengukuh ikhlas dan azam yang tinggi.
“Beliau mengingatkan kita agar tidak membudayakan amalan 
bermewah-mewah tanpa batas dalam menyediakan makanan seperti lazim 
berlaku di mana-mana.   Ini bertentangan dengan ruh puasa yang mahukan 
kita merasakan kelaparan dan kedahagaan sepertimana yang dirasai oleh 
orang-orang miskin,” kata beliau.
 
