BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Mac 18, 2010

Ekonomi Negara Perlu Rombakan Total

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambarkan keadaan ekonomi Malaysia yang kucar kacir serta tanpa halatuju di bawah pentadbiran Umno-Barisan Nasional menyebabkan berlakunya pemindahan modal ke luar negara secara besar-besaran sementara kebergantungan pendapatan kepada minyak semakin merosot.

Dalam perbahasan titah Yang DiPertuan Agong beliau selama hampir tiga jam di Dewan Rakyat hari ini beliau memperincikan mengapa ekonomi Malaysia semakin suram dengan kadar kemasukan pelaburan langsung semakin menurun dengan drastiknya sementara tahap persaingan negara jauh ketinggalan berbanding negara rantau Asia Tenggara yang lain.

Malah beliau juga menyanggah Perdana Menteri yang mengatakan keperitan ekonomi telah berakhir sebagai satu kenyataan yang cuai dan tidak bertanggungjawab.

“Terlalu banyak masa diberikan kepada rancangan untuk meningkatkan ekonomi sekarang kepada ekonomi bernilai tinggi sehinggakan kita mengabaikan isu ekonomi lain yang bersangkutan soal keadilan sosial, yang seharusnya mengambil tempat sentral dalam mana-mana agenda pembangunan ekonomi di Malaysia.

"Usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan menampakkan impak yang terlalu kecil dan lebih mengejutkan laporan Pembangunan Insan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia ditangga ke-66 dari segi ketidaksamaan ekonomi berbanding tangga ke-23 bagi Singapura, Hong Kong (24), Korea Selatan (26), Brunei (30) dan Cuba (51)," tegas Anwar kepada anggota Dewan.

Beliau menambah walaupun penggunaan pendekatan fiskal untuk merangsang ekonomi meningkat antara tahun 2002 hingga 2004 kadar kemiskinan masih naik kepada 12 peratus dalam tempoh tersebut.

Ini merupakan fenomena yang aneh kerana semasa keadaan ekonomi lemah sebahagian besar daripada sumber kewangan negara ditumpukan kepada menggerakkan ekonomi.

Namun kata Anwar hanya kroni dan jaringan mereka yang mendapat manfaat manakala rakyat terus merana.

"Jurang ekonomi antara pelbagai kaum di negara menjadi semakin teruk hinggakan usaha ke arah ekonomi yang holistik menjadi sesuatu di luar kemampuan pentadbiran sekarang.

“Satu reformasi gergasi dan anjakan besar dalam pengurusan ekonomi negara diperlukan  sekiranya Malaysia mahu meningkat kepada ekonomi bernilai tinggi serta memastikan kekayaan diagihkan sama rata kepada kaum dan lapisan," tambah beliau.

Menyentuh mengenai pendapatan daripada sektor minyak dan gas Ahli Parlimen Permatang itu berkata amalan sekian lama kerajaan memerah Petronas sebagai sumber dana tidak lagi boleh diteruskan.

Menurut Anwar Petronas terpaksa menambah bayaran kepada kerajaan dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Pada 2005 umpamanya syarikat petroleum nasional itu membayar sebanyak RM32.1 bilion kepada kerajaan diikuti RM47.7 pada 2007, RM52.3 bilion dalam tahun 2007, RM61.6 bilion pada 2008 dan RM74 bilion pada 2009.

Dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2007 dan 31 Disember 2008 Petronas menyumbang masing-masing 36.8 peratus dan 44.9 peratus kepada keseluruhan pendapatan kerajaan pada tahun berkenaan.

Tambah Anwar jika pendapatan daripada syarikat minyak dan gas lain dikira bersama ini bermakna negara bergantung lebih separuh pendapatannya daripada sumber yang tidak diperbaharui.

“Menyedari hakikat ini Pakatan Rakyat sejak awal mewar-warkan bahawa negara memerlukan reformasi yang holistik kepada kerangka dasar ekonomi terutama sekali pada masa kini di mana terdapat ketidakseimbangan dalam ekonomi.

"Prinsip Pakatan Rakyat selama ini konsisten bahawa tanpa perubahan holistik yang membabitkan pembasmian rasuah secara total, mengemaskini proses pembelian kerajaan, merungkai pertalian bisnes kerajaan-ahli politik, mengembalikan integriti kehakiman dan institusi penting lain dan merombak sistem pendidikan, mantra ekonomi bernilai tinggi akan hanya menjadi retorik. 

"Ketidakyakinan terhadap prospek ekonomi Malaysia juga timbul disebabkan beberapa isu sensitif yang tidak diurus dengan baik seperti isu kalimah Allah serta kehilangan aset kerajaan dalam kes enjin jet pejuang dan kapal selam yang tidak boleh menyelam. Semua ini menyumbang kepada pemindahan modal dari Malaysia yang mengejutkan tahun lalu," kata Anwar.

Ketua Umum KEADILAN itu juga bercakap mengenai peranan syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC) yang dilihat membuat pelaburan yang lebih agresif di luar negara berbanding pasaran tempatan.

"Tindakan GLC melabur lebih banyak di luar Malaysia menggambarkan tahap keyakinan terhadap ekonomi negara semakin menurun.


Selasa, Mac 16, 2010

Rasuah, Urus Tadbir Tidak Telus Punca FDI Merudum

Ketua Umum KEADILAN mendakwa kemerosotan ketara pelaburan terus asing ke Malaysia adalah disebabkan gejala rasuah yang bermahajaralela serta ketidaktelusan kerajaan dalam urus tadbir negara.
 
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan pertanyaan kepeda Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed berhubung faktor yang menyebabkan kemasukan FDI merudum dengan teruk walaupun kerajaan telah memperkenalkan liberalisasi sektor perkhidmatan.

“Beberapa pertimbangan penting perlu diambil kira. Berdasarkan kepada laporan Unctad pada Disember 2009 daya tarikan FDI Malaysia jatuh daripada tangga 62 kepada 66," komen Ketua Pembangkang setelah mendengar jawapan menteri.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhujah kemasukan FDI ke negara ini adalah pada tahap RM22.1 bilion berbanding RM75.5 bilion bagi Singapura dan Thailand serta Indonesia masing-masing merekodkan FDI sebanyak RM27 bilion.

“Mengapa Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara ini yang pada satu ketika dahulu ketinggalan jauh belakang Malaysia dari segi pembangunan?” tanya Anwar.


Umno Rasis Gelar Orang India Pakai Cawat

Umno sekali lagi menunjukkan sikap perkauman yang tebal dan menghina masyarakat bukan Melayu apabila Ahli Parlimen Pasir salak melabelkan orang India yang dibawa penjajah Inggeris ke Malaya ketika itu hanya memakai cawat untuk bekerja diladang getah.

Datuk Tajudin Abdul Rahman mengeluarkan kata-kata perkauman itu ketika membahaskan usul Model Ekonomi Baru yang dibawa oleh Ahli Parlimen Tangga Batu Datuk Ismail Mohamed Said.

Perbahasan menjadi panas apabila Ahli Parlimen Teluk Intan M. Manogaran hanya di Malaysia jutawan Melayu boleh membeli rumah berharga mahal dengan diberi diskaun 5 hingga 7 peratus yang tidak dinikmati oleh kaum lain.

Tajudin kemudiannya bangun dan mengatakan bahawa Umnolah yang telah membina sekolah di mana Manogaran belajar.

"Bapa saya bayar cukai, daripada duit itulah Umno guna bina sekolah," jawab beliau.

Tajudin menjawab mengimbas kembali sejarah kedatangan kaum India ke Malaya pada kurun ke-19.

"Tahukan Yang Berhormat berasal dari mana, datang dari mana? Penjajah Inggeris bawa masuk orang-orang lain untuk bekerja di ladang getah. Ada yang datang sini pakai cawat," kata Tajudin. 


Ahli Parlimen PR Keluar Dewan Bantah Speaker

Kesemua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat  pagi ini bertindak keluar daripada Dewan Rakyat selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak untuk membahaskan usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengemukakan usul agar Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bertanggungjawab memastikan semua laluan menghala ke Parlimen bebas daripada sebarang halangan.

Usul itu  diluluskan selepas mendapat bilangan undi majoriti secara lisan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional namun mendapat bantahan daripada anggota Pakatan Rakyat yang mendesak agar perbahasan terhadap usul itu dibuka.

Pertelingkahan terjadi antara Ahli Parlimen Bagan Serai N. Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan Speaker dan Timbalannya, Datuk Ronald Kiandee sehingga memaksa semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar daripada Dewan.

Sementara itu Kit Siang dalam sidang media selepas keluar Dewan berkata tindakan Speaker itu menyekat hak kebebasan bersuara sebagai Ahli Parlimen.

"Pakatan Rakyat kesal dengan keputusan ini kerana Ahli Parlimen tidak diberi hak untuk bersuara walaupun usul sebegini pernah didebatkan pada tahun 1970-an," katanya.


GST: Negara Memerlukan Komitmen Dan Kepastian

KENYATAAN AKHBAR
15 Mac 2010


GST: NEGARA MEMERLUKAN KOMITMEN DAN KEPASTIAN


Pakatan Rakyat mengalu-alukan keputusan untuk menunda perbahasan kali kedua Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CPB atau “GST”) yang menandakan sekali lagi, kerajaan BN tidak mempunyai kepastian dalam mentadbir negara. Sebelum ini, BN yakin bahawa GST adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah defisit negara dan tidak teragak-agak meluluskannya tanpa mengambil kira pandangan rakyat. Kini, BN mengaku ia telah tersalah langkah kerana tidak mengambil pandangan rakyat terlebih dahulu.


Pakatan Rakyat beranggapan bahawa keputusan mengalah oleh BN dalam isu GST adalah satu lagi bukti bahawa kesedaran rakyat mengenai hak mereka untuk turut serta dalam proses membuat keputusan negara, semakin meningkat. Kesedaran ini, yang dizahirkan bermula dengan keputusan pilihanraya umum yang lepas, akan terus mengawasi keborosan dan amalan tidak sihat kerajaan.


Selama ini, Pakatan Rakyat konsisten bahawa GST bukanlah jawapan kepada masalah ekonomi negara. Masalah utama ekonomi negara berpunca dari kegagalan kerajaan yang tidak mempunyai iltizam politik untuk membasmi rasuah dan melakukan reformasi menyeluruh kepada institusi-institusi utama dan sistem pendidikan negara.


Ekonomi Malaysia mendapat kesan yang teruk dari persepsi negatif oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Pelabur antarabangsa secara berterusan mengelak dari dekat dengan Malaysia – mereka menarik keluar portfolio pelaburan dan mengalih FDIs ke negara lain, walaupun pentadbiran sekarang memperkenalkan pelbagai langkah liberalisasi. Sektor swasta kita sendiri lebih gemar melabur di negara lain. Ini menjadi salah satu punca yang menyebabkan penurunan mendadak 48% bagi pelaburan kapital baru dalam tahun 2009.


Persepsi negatif sebegini hanya boleh dimatikan dengan reformasi ekonomi yang bermakna dan menyeluruh.


Sebaliknya, kerajaan BN tetap bertegas untuk melaksanakan GST walaupun kenaikan kutipan cukai tidak langsung dianggarkan hanyalah RM1 billion setiap tahun. Hingga kini, kerajaan tidak berterus terang mengenai kos sebenar yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan swasta untuk melaksanakan GST; atau bagaimana kos ini akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan apabila GST diperkenalkan.


Keputusan menangguhkan perbahasan Akta CPB, walaupun dialu-alukan oleh banyak pihak, akan menimbulkan beberapa masalah baru kepada sektor swasta. Sejak 5 tahun lalu, kerajaan telah memberikan mesej yang berbeza-beza mengenai pelaksanaan GST. Setiap kali kerajaan mengumumkan keputusan untuk melaksanakan GST, syarikat-syarikat terpaksa berbelanja untuk membuat persiapan. Kerajaan selepas itu dengan sewenang-wenangnya mengumumkan pula keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan, yang menyebabkan syarikat-syarikat menanggung kerugian.


Pendekatan yang tidak ada kepastian sebegini dalam memperkenalkan inisiatif fiskal yang baru, hanya akan meningkatkan kos dan risiko kepada sektor swasta, terutamanya apabila inisiatif fiskal itu melibatkan banyak perubahan kepada sistem yang digunapakai oleh sektor swasta. Syarikat-syarikat swasta telah banyak berbelanja sejak setahun lepas, dan kini mereka dimaklumkan mereka perlu menghentikan persediaan sehinggalah diumumkan kelak.

Dalam konteks inilah kami berpendapat kerajaan BN tidak mempunyai komitmen dan iltizam politik untuk menghantar mesej yang jelas dan pasti kepada rakyat, pasaran dan komuniti perniagaan. Sebelum ini terdapat mesej yang bercampur-campur mengenai isu subsidi dan tarif elektrik, kini keadaannya serupa bagi GST.


Ini adalah tidak baik bagi negara kita.


Pakatan Rakyat dengan ini meminta BN untuk menghentikan pendekatan yang tidak ada kepastian seperti ini dan mengumumkan kepada negara; sama ada GST tidak akan dilaksanakan sama sekali; atau menyediakan satu rancangan yang jelas mengenai pelan pelaksanaan GST untuk memberi masa kepada rakyat bersedia.


Zaman kerajaan tahu segala-galanya dan tidak mengambil pandangan rakyat sudah pun lama berakhir.


YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang dan
Ketua Umum,
Parti Keadilan Rakyat (PKR)


YB NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden,,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)


YB LIM KIT SIANG
Ketua Ahli Parlimen,
Democratic Action Party (DAP)



Isnin, Mac 15, 2010

Pakatan Rakyat Desak GST Ditarik Balik Bukan Tangguh

Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST perlu ditarik balik dan bukan setakat ditangguh sahaja kerana ia merupakan bebanan kepada rakyat kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menganggap keputusan Parlimen pada kali ini yang tidak akan membincangkan tentang GST sebagai satu kemenangan Pakatan Rakyat.

"Kerajaan perlu membangunkan ekonomi rakyat dahulu sebelum menjalankan beberapa usaha untuk meningkatkan hasil cukai negara. Perkara ini bukan senang untuk dilaksana tetapi ada banyak pandangan yang merasakan kos perkhidmatan dan  barangan akan meningkat.

"Pakatan Rakyat merasakan GST perlu ditarik balik bukannya ditanggungkan," kata Khalid selepas perasmian sidang Dewan Rakyat di Parlimen.

Pendapat beliau disokong Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan rakyat belum lagi bersedia menerima perlaksanaan cukai seperti ini.

"Sepatutnya rang undang-undang ini perlu ditarik balik kerana jika sedang kali ini tidak dibentang tetapi pada sidang yang akan datang ia akan dibentang juga.

"Alasan kerajaan untuk mendapat respon dari rakyat adalah silap, sepatutnya sebelum merangka GST ia perlu mendapat respon dari rakyat. Jika rang undang-undang telah dirangka bagaimana respon rakyat boleh dimasukkan walaupun boleh mengemukakan pindaan tetapi kita melihat ini umpama tikus membaiki labu kerana kita lihat ia tidak dapat memastikan rang undang-undang memberi kesejahteraan kepada rakyat sepenuhnya," jelasnya.

Mahfuz juga menganggap rakyat belum bersedia untuk menghadapi GST kerana pendapatan rakyat masih rendah.

"Pendapatan rakyat masih rendah kerana 93 peratus rakyat tidak layak dicukai kerana faktor pendapatan mereka. Jika GST dilaksanakan maka ini tidak adil kepada rakyat yang tidak layak dikenakan cukai," sambungnya lagi.

Persidangan Parlimen pada kali ini menarik minat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan menyifatkan titah Yang DiPertuan Agong bersifat adil.

Mengulas titah baginda, Khalid berkata Tuanku Mizan Zainal Abidin  mengarahkan agar setiap Ahli Parlimen bekerjasama untuk pembangunan rakyat.

"Walaupun kita berbeza dari segi konsep parti tetapi yang penting ialah bagaimana kita menterjemahkan kepentingan negeri dan negara untuk kepentingan rakyat dan perkara yang paling penting ialah kita mesti memberikan memberitahu pentadbir serta pegawai kerajaan supaya tidak membezakan antara parti-parti politik

"Sebagai contoh di Selangor pemerintahan adalah Pakatan Rakyat dan bekas pegawai-pegawai kerajaan menterjemahkan usaha Pakatan Rakyat untuk membangunkan negeri Selangor dan tidak boleh dibeza-bezakan," jelas beliau.

Mahfuz pula berkata titah Yang Di-Pertuan Agong supaya setiap Ahli Parlimen menunjukkan sikap terbaik mereka perlu diambil iktibar kepada Ahli Parlimen yang melompat parti.

"Contoh Ahli Parlimen yang terbaik adalah Ahli Parlimen yang tidak melompat parti kerana ini adalah prinsip dan amanah yang telah diberikan rakyat kepada mereka. Kepada Ahli Parlimen yang lompat parti perlu melepaskan jawatan mereka kerana sikap mereka telah mengecewakan rakyat," tegas beliau.

Selasa, Mac 09, 2010

Prestasi Kerajaan Negeri-Negeri Pakatan Rakyat Sepanjang 2 Tahun

Pakatan Rakyat secara tuntas memperlihatkan kerjasama dan muafakat utuh demi memasti serta menjamin kemaslahatan rakyat. Pakatan Rakyat akan sentiasa menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan yang menjamin hak orang Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Pakatan Rakyat akan terus memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan didasari prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban. Berdepan dengan masalah perkauman yang meruncing, rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan perpaduan kaum yang semakin jitu dan utuh. Negeri-negeri Pakatan menunjukkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan jika dibandingkan dengan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional.


Selangor

Negeri Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM6.76 billion pada tahun 2009 dan mencipta sebanyak 20,753 peluang pekerjaan. Dari jumlah pelaburan tersebut, RM2.752 bilion (40.8%) merupakan pelaburan tempatan. Manakala Projek Industri yang diluluskan di Selangor berjumlah 278, ianya merupakan yang tertingi dicatatkan di negara ini.

Kerajaan Negeri Selangor juga mensasarkan enam hingga tujuh peratus pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada penguncupan sebanyak 3.87 peratus tahun lepas.

Selangor juga mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 5.3 peratus iaitu sebanyak 54,339 kes sepanjang tahun 2009 berbanding 57,704 kes pada tahun sebelumnya.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan kira-kira RM6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini bagi menjalankan aktiviti pendidikan dan pembelajaran berteraskan Islam sepanjang 2010. Peruntukan ini diberikan kepada SAR yang tidak pernah mendapat sebarang peruntukan kewangan dan peralatan pembelajaran dari Kerajaan Negeri mahupun sumbangan individu.

Pulau Pinang

Pulau Pinang meluluskan sebanyak 104 projek industri (ketiga tertingi). Dasar CAT (daya saing, pertanggungjawaban dan ketelusan) menjadi pemangkin kepada kejayaan Pulau Pinang untuk merekodkan lebihan belanjawan (surplus) sebanyak RM88 juta berbanding jangkaan defisit sebanyak RM35 juta (belanjawan 2008)

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga mewujudkan 200 ekar hub pendidikan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat pendidikan terunggul. Pengiktirafan serta bantuan kewangan (pemberian tunai) kepada pelajar terbaik SPM dan STPM serta para huffaz.

Bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat berjumlah RM97 ribu per sekolah, RM60 ribu kepada setiap sekolah Cina dan RM63 ribu kepada setiap sekolah Tamil. Jumlah keseluruhan ialah RM11.3 juta.

Kedah

Pelaburan adalah penyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri. Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Kedah telah mencatatkan pelaburan keseluruhan lebih RM839 juta bagi tempoh Januari hingga September 2009, dengan nilai pelaburan tempatan sebanyak RM279.4 juta dan pelaburan asing sebanyak RM559.8 juta.

Kini dengan keluasan 1,000 hektar kerajaan mendapat hasil RM16.7 juta, tidak termasuk cukai per tan metrik bila balak dikeluarkan dari hutan. Sedangkan di bawah pentadbiran Umno-BN, dengan keluasan yang sama, hanya mampu mengutip RM3 hinggga RM4 juta sahaja termasuk cukai kayu pertan metrik. Kejayaan ini merupakan hasil dari pelaksanaan dasar yang telus serta tidak berkompromi dengan rasuah.

Kelantan

Semenjak 20 tahun lepas Kerajaan Kelantan secara berterusan dianaktirikan akan tetapi Kelantan tetap berjaya dengan program negeri berkebajikan. Program Kifalah untuk anak yatim, golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya telah menjadi contoh kepada banyak negeri. Begitu juga dengan program Perbadanan Ladang Rakyat yang membantu golongan marhaen, Bandar Baru Tunjung dibina menjadi pusat komersil satelit kepada Kota Bharu. Kerajaan Negeri berjaya mengambil alih bekalan air daripada Thames Water kepada Air Kelantan. Selain itu PMBK menjadi agensi pelaburan utama negeri yang sebelum ini gagal di bawah pemerintahan BN sebelum 1990. Kerajaan Negeri berjaya menguruskan 20 sekolah agama bantuan penuh kerajaan negeri yang cemerlang dan menjadi saingan kepada sekolah premier di bawah Kementerian Pendidikan. Kehadiran pelbagai syarikat multinasional adalah bukti kuasa beli rakyat Kelantan terus kukuh. Sepanjang 20 tahun pemerintahan ekonomi tempatan dibina secara kendiri tanpa bantuan stimulus dari kerajaan Pusat.




Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...