BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Jumaat, Julai 20, 2012

Perutusan Ramadhan Ketua Cabang Nibong Tebal, YB Hj. Maktar Hj. Shapee







































































































































































































Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Muslimin dan Muslimat yang diRahmati Allah sekelian, khususnya mereka yang berada dalam KADUN Sg. Bakap.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa Ramadhan dengan rasa penuh Keimanan kepada Allah s.w.t.. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : 'Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan semata-mata kerana iman dan mengharapkan Redha Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu ....' Marilah sama-sama kita meningkatkan amalan kita di bulan yang mulia ini. Sebagai panduan, bersama ini disertakan beberapa penjelasan mengenai kelebihan dan cara-cara mendapatnya :
Puasa Ramadhan - Orang Yang Untung
Saudara, kita telah lihat dua potongan hadith menyentuh kefadhalan atau keuntungan yang kita dapati apabila kita benar-benar ikhlas dan istiqamah berpuasa dalam bulan Ramadhan. Kita diberitahu bahawa ketika tibanya bulan Ramadhan, Allah (s.w.t.) akan memasung syaitan dan jin yang sememangnya sentiasa cuba menyesatkan orang beriman, apa lagi dalam bulan puasa. Jelasnya, orang beriman itu dalam bulan Ramadhan terpeliharalah dari godaan jin dan syaitan kerana dipasung atau diikat Allah (s.w.t.). Dan, dalam masa yg sama pula para malaikat rahmat di langit menyeru dan mengajak orang iman supaya meninggalkan segala aktiviti keburukan dan kemaksiatan mereka pada malam dan siang hari dan memperbanyakkan amalan tambahan (amalan sunat dalam bulan Ramadhan) supaya mendapat gandaan pahala yang besar sebagai bekalan hari selepas matinya. Jelaslah kita dipermudahkan Allah (s.w.t) untuk berpuasa dan mengamalkan amalan soleh dan menambah dan meningkatkan amalan yg berupa peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dalam bulan Ramadhan.

Saudara, kita juga diberitahu apakah ganjaran yang menunggu kita kelak setelah berjaya berpuasa dalam bulan Ramadhan sebaik mungkin iaitu keampunan dari dosa-dosa yang lalu dan dibebaskan dari siksaan neraka. Orang-orang yang mendapat kejayaan sedemikian adalah memenuhi dua syarat; iaitu : 1. Mereka berpuasa dengan penuh keinsafanan, dan
2. Mereka mengharapkan mendapat kerahmatan Allah (s.w.t.).
Caranya menjaga dirinya dari melakukan sebarang kemaksiatan ketika siang hari dan malam harinya dan menambah amalan dan ibadah ketika siang dan lebih-lebih lagi malamnya, terutama mengerjakan Solat Terawih dan bangun malam mengerjakan solat-solat sunat tambahan pula.
Saudara, kita diberitahu betapa besar dan banyak serta berbagainya ganjaran pahala mengerjakan amalan dalam bulan Ramadhan itu - ketika siang dan ketika malam - yg akhirnya, jika kita menepati tuntutan Islam, kita dibebaskan dari neraka. Oleh itu, dalam sepotong hadith, yang telahpun kita temui, bahawa rugilah seseorang yang beriman itu jika di akhir Ramadhan dia tidak dapat pengampunan Allah (s.w.t) dari dosa-dosanya yang lalu dan dibebaskan oleh Allah (s.w.t.) dari neraka!
Kita lihat selanjutnya beberapa hadith mengenai kefadhalan Ramadhan itu.
Diriwayatkan hadith dari abu Hurairah berkata: ‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Raghima anfu rajulun zukirtu ‘indahu falam yusolli ‘alaiya wa-raghima anfu rajulun dakhala ‘alaihi ramadhanu thumman salakha qabla an yughfara lahu wa-raghima anfu rajulun adraka ‘indahu abawahul-kibara falam yudkhilhu jannata.’ (Yang bermaksud: "Hilang hidung, yakni Kurus/rugi lelaki yang disebut aku (Nabi) di sisinya maka tidak mendoakan rahmat dia atasku, dan rugi/hilang hidung lelaki yang masuk atasnya bulan Ramadhan kemudian habis/berlalu Ramadhan sebelum bahawa diampuni baginya (dosa-dosanya) dan rugi/hilang hidung lelaki menjumpai di sisinya kedua orang tuanya maka tidak memasukkannya (oleh mereka) pada syurga." [Hadith at-Termidzi, Kitab Doa]
Bahagian pertama hadith di atas itu menyebutkan rompong hidung atau tidak menghormati dia apabila mendengar nama Rasulallah (s.a.w) disebut, dia tidak berselawat atas Nabi (s.a.w). [Nota: Allah (s.w.t.) pada Ayat 56, Surah al-Ahzab memerintahkan orang yang beriman supaya berselawat atas Nabi (s.a.w) kerana Allah (s.w.t.) dan para malaikat berselawat atas Nabi (s.a.w). Umat Islam diwajibkan menyebut 'sallallahu 'alihi wasallam' setiap kali mendengar nama Nabi (s.a.w) disebut].
Hadith itu menyebutkan dua pra-syarat bagi orang yang beriman yang berpuasa yang boleh membebaskan dirinya dari dosa-dosanya yang lalu dan membebaskan dirinya dari siksaan neraka, iaitu : 1. Sepanjang Ramadhan dia memastikan dirinya berpuasa sebaik mungkin dan beramal sebaik mungkin; dan
2. Orang-orang yang masih mempunyai kedua ibu bapanya, dia menjaga dan melayani mereka sebaik mungkin sehingga kedua-dua ibu bapanya redha terhadapnya, dan kerana keredhaan itu, dia berjaya mendapat keredhaan Allah (s.w.t.), dan keredhaan Allah (s.w.t.) itu membolehkannya diberikan ganjaran syurga oleh Allah (s.w.t.). Rugilah bagi seseorang orang yang beriman itu ketika masih hidup kedua ibu bapanya dibiarkannya dan tidak dilayani olehnya sebaik mungkin, maka ketika mereka sudah mati, tidak dapatlah kedua-duanya menghantarkannya ke syurga di akhirat kelak, kerana tidak redha kedua-duanya terhadap mereka! Demikianlah utamanya puasa Ramadhan dan utamanya bagi seorang anak itu menjaga sebaik mungkin kedua ibu bapanya semasa mereka masih hidup.
Saudara, hadith berikut mengulangi ganjaran pahala orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan demi mencari dan mendapatkan keredhaan Allah (s.w.t.) itu.
Bahagian kedua hadith ini menyebutkan pula barangsiapa yang berusaha sebaik mungkin untuk mencari Malam Qadr (Lailatul Qadar) dengan penuh keimanan dan mengharapkan juga keredhaan Allah (s.w.t.), maka dia akan dibebaskan dari neraka di akhirat kelak. Dalam Surah al-Qadr kita diberitahu bahawa Malam Qadr itu lebih baik dari 1,000 bulan (atau 83.3 tahun) jikalah kita diberi kesempatan menemuinya.

Malam Qadr itu berlaku pada malam ganjil 10 malam terakhir Ramadhan. Dalam hadith lain disebutkan tentang 4 orang yg amat 'alim dan soleh dalam zaman sebelum zaman Musa (a.s), yang mengerjakan amalan tanpa melakukan sebarang dosa kecil sedikitpun dalam hayat mereka sepanjang 80 tahun, mendapat jaminan syurga oleh Allah (s.w.t.). Maka sesiapa yg berjaya menemui malam Qadr itu, pahalanya melebihi amalan tanpa cacat empat orang 'alim tersebut - 83.3 tahun.
Diriwayatkan hadith dari Abi Hurairah (r.a) hadith dari Nabi (s.a.w) bersabda: ‘Man soma Ramadhana imanan wahtisaban ghufira lahu ma taqqaddama min zanbihi, wa-man qama lailata imanan wahtisaban ghufira lahu ma taqqaddama min zanbihi.’ (Yang bermaksud: ‘Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana keimanan dan kerana mencari pahala (di sisi Allah (s.w.t) diampunkan Allah (s.w.t.) baginya apa-apa yang telah mendahuluinya dari dosa-dosanya; dan barangsiapa berdiri (yakni, menetapi ibadah) pada malam Qadr kerana keimanan dan kerana mencari pahala di sisi Allah (s.w.t.), diampunkan Allah (s.w.t.) baginya apa-apa yg mendahulukannya (dosa-dosanya). [Hadith Bukhari, Kitab Solat Terawih]

Hadith di atas itu menyebutkan bahawa sesiapa yang berjaya diberi kesematan oleh Allah (s.w.t.) menemui Malam Qadr itu akan dikikis segala dosa-dosanya yang telah lalu, diberi keampunan, dibebaskan dari neraka dan dianugerahkan Allah (s.w.t.) syurga di akhirat kelak. Mudah-mudahan kita dapat menyediakan diri untuk berpuasa sebaik mungkin dalam bulan Ramadhan tahun ini, Insya Allah.

Untuk itu eloklah perbanyakkan amalan sunat di siang hari seperti mengerjakan pelbagai solat-solat sunat, terutama Solat Duha (12 rakaat - dibuat dua-dua rakaat satu salam), Solat Taubat (dua rakaat satu salam), membaca al-Quran dan berzikir dan sebagainya. Dan, ketika malamnya pula mengerjakan Solat Terawih (8 rakaat dibuat empat empat rakaat satu salam, mengikut as-Sunnah), mengerjakan Solat Tahajjud pula (dibuat dua dua rakaat satu salam sebanyak mungkin, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Pahala melakukan satu kebaikan adalah antara 10 gandaan hingga 700 gandaan, tapi amalan dalam bulan Ramadhan gandaannya melebih 700 kali gandaan pula, tertatakluk kepada keikhlasan kita mengikut penilaian Allah (s.w.t.).
Pahala juga boleh didapati dengan bersedekah dan memberi makan orang-orang yang berpuasa maka kita diberi ganjaran pahala seumpama pahala orang yang kita jamu makanan. Kalau kita beri makan 10 orang yang beriman yang berpuasa dan dia diberi ganjaran pahala oleh Allah (s.w.t.) 500 gandaan, maka kita dapat pahala sebagaimana mereka itu di kali dgn 10 orang, iaitu 500 x 10 = 5,000 ganjaran pahala pula. Alangkah beruntungnya orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa! Selain itu mempercepatkan berbuka dan melambatkan bersahur juga mendatang pahala sunnah.
WabillahiTaufiqWalHidayah, Wassalam










































































Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...