BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Mac 01, 2012

Keganasan politik boleh dihentikan jika rakyat amal prinsip ‘negara barakah’ - ABIM

KUALA LUMPUR, 29 Feb — Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan gejala kegasanan politik menambah insiden itu boleh diatasi sekiranya rakyat berpegang kepada prinsip “negara barakah”.

Menurut Presiden Abim Amidi Abd Manan, prinsip negara barakah mengangkat tinggi prinsip, nilai akhlak, etika dan moral.
 
Jelas beliau, insiden keganasan politik semakin kerap berlaku apabila tiba musim pilihan raya.

“Berdasarkan dari pengamatan pihak Abim,  gejala keganasan politik ini tampak semakin menggejala terutama sekali dalam suasana teka-teki tarikh  pilihan raya umum ke-13 yang semakin rancak diperkatakan. 

“Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat politik serta rakyat secara umumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Amidi, insiden keganasan politik yang berlaku menunjukkan ketidakmatangan budaya politik tanah air di peringkat akar umbi dan demokrasi.

“Tambah mendukacitakan perkembangan ini terjadi ketika negara sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta parti-parti politik di negara ini. 

“Insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik terbuka serta matang,” katanya.

Dalam erti kata lain, menurut Amidi, gagasan serta idealisme politik yang dicanangkan pemimpin politik hanya retorik kosong sekiranya insiden keganasan terus berlaku.

“Justeru Abim menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan dalam Rukun Negara.   

“Selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga lawan,” katanya.

Gangguan dan provokasi kerap berlaku semasa program ceramah diadakan.

Terbaru ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diganggu.

“Justeru Abim menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan serta mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu,” kata Amidi.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB