BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Mac 01, 2012

AMK tuntut polis siasat perbuatan gantung bangkai ayam

PULAU PINANG 29 Feb: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pulau Pinang menuntut siasatan terperinci berhubung penemuan seekor bangkai ayam yang digantung di pintu pagar pusat khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya di Butterworth hari ini.

Ketua AMK negeri, Amir Md Ghazali mengaitkan perbuatan itu dengan tindakan agresif Umno sejak kebelakangan ini menggangu program anjuran Pakatan Rakyat, khususnya dalam usaha mereka menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.

“Umno negeri kian tertekan untuk rampas Pulau Pinang dan sebab itu kelancaran program Pakatan Rakyat di sini cuba diganggu parti itu termasuk melalui Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tajaan mereka yang menggunakan pelbagai nama termasuk Perkasa,” tegasnya.

“Oleh itu, kita mendesak polis membuat siasatan terperinci, telus dan umumkan hasil siasatan itu,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Menurutnya, beliau yakin perbuatan itu ada kaitan dengan debat antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan menteri kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohd Yakcop malam ini.

Debat berkenaan anjuran jentera pilihan raya Pakatan Rakyat akan diadakan di Dewan Besar Majlis Perbandaran Seberang Perai, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Bernama hari ini melaporkan, Fathilullail Jaafar Sidek berkata, beliau menemui bangkai seekor bangkai ayam yang ada kesan darah dengan sebelah kaki haiwan itu dipotong.

Fathilullail yang juga petugas di pejabat pusat khidmat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu percaya bangkai itu diletakan antara jam 3 hingga 10 pagi.

Beliau sudahpun membuat laporan di balai polis Seberang Perai Tengah hari ini sebelum sepasukan polis membuat siasatan jam 5 petang tadi tanpa mengumumkan hasil siasatan itu.

Berdasarkan rekod, Pusat Khidmat itu juga merupakan pusat operasi AMK Permatang Pauh.

Pada 26 Februari lalu, himpunan anti-Lynas yang turut dihadiri Guan Eng menyaksikan penyokong Umno dan Perkasa mengancam Ketua Menteri Pulau Pinang dan mencederakan wartawan.

Manakala Naib Presiden Nurul Izzah Anwar pula nyaris ditumbuk oleh penyokong Umno  dalam  program ceramah di Felda Lepar Hilir I di Gambang, Pahang.

Terdahulu sebelum ini,  penyokong Umno turut bertindak ganas di program Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong, menyaksikan cermin keretanya pecah dan bahagian kenderaannya kemek.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB