BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT

BUKU JINGGA - AGENDA PAKATAN RAKYAT
Klik pada imej untuk membaca kandungannya

Khamis, Februari 16, 2012

Audit dapati lebih 200,000 pengundi diragui

KUALA LUMPUR 15 Feb: Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan sistem pilihan raya dimaklumkan bahawa semakan audit yang dijalankan ke atas daftar pemilih mendedahkan sejumlah besar pengundi meragukan.

Mimos Bhd, sebuah syarikat teknologi milik penuh kerajaan yang membuat semakan audit itu pada taklimatnya kepada PSC berkata terdapat sekurang-kurangnya 230,000 pengundi yang mencurigakan.
Menurut Ahli PSC, Anthony Loke, Mimos memberitahu pihaknya mengesan 820 kes di mana terdapat lebih 100 pengundi menetap di alamat yang sama.

“Selain itu, kami mendapati 1,259 kes di mana antara 51-100 pengundi tinggal di alamat yang sama, 3,254 kes di mana terdapat antara 21-50 pengundi tinggal di alamat sama, dan 6,002 kes yang melibatkan antara 11 hingga 20 pengundi di rumah sama.

“Tempat-tempat ini termasuk kem tentera,” katanya kepada Malaysiakini.

Taklimat yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mimos, Abdul Wahab Abdullah selama dua jam itu turut dihadiri Pengerusi PSC, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Loke berkata, turut dipertikaikan alamat yang mencurigakan di mana pengundi didaftar dengan alamat yang tidak lengkap ataupun tidak sah.
Sebagai contoh, katanya: “Tiada alamat atau rumah 62, Lembah Pantai dan E6, Seputeh”.

Menurut Loke, PSC memberikan Mimos tempoh dua minggu menjalankan semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengemaskini nama-nama dan alamat mencurigakan itu.

Belum boleh bubar parlimen

Memandangkan jumlah pengundi yang meragukan sebegitu ramai, Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak perlu memastikan daftar pemilih dibersihkan sebelum parlimen dibubar.

Pemimpin DAP itu berkata Mimos turut mengenal pasti 785 polis dan anggota tentera yang berdaftar sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama, juga sebagai pengundi biasa.

Semasa laporan awal PSC dibentangkan pada Disember, selepas jawatankuasa itu mengadakan beberapa pendengaran awam, mereka telah membuat beberapa cadangan, termasuk semakan audit pengundi.

Mimos kemudian ditugaskan untuk memeriksa daftar pemilih bagi mengesan nama atau kad pengenalan yang sama ataupun bertindih, pengundi berusia lebih 100 tahun dan mengesahkan butiran pengundi dengan pangkalan data dari agensi-agensi kerajaan yang lain.

Loke juga mendedahkan bahawa Mimos berjaya mengesan 22,076 pemilih berdaftar yang berumur lebih 90 tahun.


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas...

ARKIB